Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah membangunkan Aplikasi Mudah Alih Pengurusan Nutrien Lada yang dikenali sebagai NutriLada yang berfungsi memberi maklumat berkaitan nutrisi penting bagi penanaman lada di samping membantu penanam lada mengenalpasti masalah-masalah berkaitan nutrisi lada.
Aplikasi NutriLada membolehkan pengguna memahami kepentingan nutrien-nutrien tertentu bagi tumbesaran pokok lada, iaitu di bawah modul ‘Pengurusan Nutrien’. Nutrien-nutrien penting termasuklah Nitrogen (N), Fosforus (P), Kalium (K), Magnesium (Mg), Kalsium (Ca), Iron (I), Mangan (Mn) dan Boron (B). Selain itu, masalah keracunan mangan dan tanah berasid turut dimasukkan dalam aplikasi ini. Modul ‘Kenalpasti Masalah’ pula membantu pengguna mengenalpasti jenis masalah nutrisi yang dialami oleh pokok lada dengan kaedah pengecaman tanda/ simptom/ gejala masalah. Modul ini memaparkan semua kemungkinan simptom yang boleh didapati dari daun dan pokok lada yang berpunca dari masalah nutrisi. Setelah masalah berjaya dikenalpasti, submodul akan memberi informasi selanjutnya mengenai (1) fungsi, (2) simptom, (3) rawatan dan (4) gambar. Modul ini berupaya mendiagnos/ mengenalpasti 10 jenis masalah nutrisi lada. Selain itu, terdapat dua modul berunsur informasi iaitu ‘Modul Jenis Baja’ dan ‘Modul Pembajaan’ yang memberi informasi tentang pengurusan pembajaan bagi tanaman lada. ‘Modul Glosari’ pula merupakan modul yang memberi penerangan lanjut tentang istilah yang susah difahami.
Aplikasi ini dapat digunakan tanpa memerlukan capaian internet, maka pekebun kecil dapat menggunakan aplikasi ini di kebun atau ladang yang terletak di kawasan pedalaman. Ia juga mesra pengguna dan dapat diakses tanpa batasan lokasi dan masa. Kelebihan ini membolehkan Ia dapat membantu khususnya pekebun kecil tanaman lada dalam mencapai maklumat pengurusan nutrisi lada di samping meningkat keberkesanan aktiviti pengembangan Lembaga Lada Malaysia.
Hak Cipta Terpelihara © 2018
Lembaga Lada Malaysia